
PROTON Holdings Bhd (Proton) menetapkan sasaran untuk mengeksport kira-kira 70 peratus kereta keluarannya dalam tempoh lima tahun akan datang, berbanding antara 20 hingga 25 peratus ketika ini.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Syed Zainal Syed Mohamed Tahir, berkata langkah itu seiring usaha syarikat ketika ini ke arah mengukuhkan kedudukannya untuk menjadi satu jenama global yang dapat diterima baik di pasaran antarabangsa.
Katanya, sejajar dengan kematangan syarikat sejak ditubuhkan pada 1985, Proton kini lebih bersedia untuk menumpukan kepada pasaran antarabangsa berbanding pasaran domestik. Beliau berkata, ini juga seiring dengan perubahan landskap industri permotoran global yang menuntut pengeluar kereta nasional itu menetapkan hala tuju baru untuk terus kekal berdaya saing.
“Proton yang kini menjangkau usia 25 tahun, berharap dapat mengubah tumpuan pasaran. Ketika ini kira-kira 70 peratus daripada kereta Proton dijual di pasaran domestik dan antara 20 peratus hingga 25 peratus dieksport.
“Bagaimanapun, kami ingin mengubah menjadi sebaliknya. Proton sudah pun menjadi syarikat global dan semua pihak dalam syarikat ini perlu melakukan perubahan untuk membawanya ke satu tahap baru,” katanya pada sidang media sempena pelancaran logo ulang tahun ke-25 penubuhan Proton di Shah Alam.

Syed Zainal menambah, bagi menjadi peserta global, Proton sudah pun mempunyai kilang pengeluaran di beberapa negara peringkat serantau seperti Iran, China dan India tidak lama lagi.
“Terbaru adalah India. Kami mahu mempunyai pangkalan pengeluaran di negara itu menerusi usaha sama dengan syarikat tempatan. Usaha ke arah ini dijangka dimuktamadkan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata, India dan China adalah pasaran global yang penting bagi Proton untuk membolehkannya menjadi peserta global dalam industri automotif antarabangsa.
“Ini adalah pasaran antarabangsa yang utama bagi Proton,” katanya.
Sementara itu, mengenai acara sambutan ulang tahun ke-25 Proton, Syed Zainal berkata, pelbagai acara sudah diatur termasuk yang membabitkan orang ramai dalam usaha mengetengahkan pencapaian syarikat sejak 25 tahun lalu dan meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama Proton.
“2010 adalah tahun yang penting bagi Proton. Kini adalah masa untuk kita merencanakan apakah yang perlu dicapai dalam 25 tahun akan datang.
“Kita sudah menjual lebih daripada tiga juta unit kereta dalam tempoh itu dan jumlah berkenaan perlu digandakan dalam tempoh 25 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, syarikat perlu melihat ke depan serta mempelajari pengetahuan dan kemahiran baru untuk menyesuaikan dirinya dengan keperluan semasa, terutama untuk bersaing di pasaran antarabangsa.
“Sekarang adalah masanya untuk Proton mengubah dirinya kepada peserta global sepenuhnya dan menjadi peserta automotif yang berdaya saing,” katanya.
